Wednesday, September 22, 2010

Bab 11 - kala hati enggan berbicara

BAB 11

Suasana di sekolah pada pagi itu begitu sunyi. Tidak ada suara-suara pelajar membuat bising di dalam kelas yang kedengaran. Tidak juga kedengaran suara guru-guru yang memekik berteriak memarahi pelajar mereka. Hanya kicauan burung dan unggas yang kedengaran.

Hari ini merupakan hari terakhir untuk pelajar tingkatan enam menduduki peperiksaan STPM. Kelihatan para pelajar sedang kusyuk menjawab soalan pada kertas terakhir mereka iaitu kertas subjek sejarah. Ada juga sesetengah pelajar yang terlena ketika sedang menjawab soalan. Dan kelihatan juga pelajar yang baharu sedar dari lamunan lantas menulis jawapan di atas kertas yang berada dihadapan mereka.Mungkin pelajar tersebut telah mendapat ilham untuk menjawab setelah beberapa minit mengelamun.

“Baiklah murid-murid.Masa hanya tinggal 5 minit sahaja lagi. Sila pastikan nama ditulis pada kertas jawapan anda.” Tegas penjaga peperiksaan. Kelihatan wajahnya yang sedikit tegas. Mungkin sengaja ditunjukkannya muka yang tegas agar para pelajar tidak berani untuk membuat perkara yang tak sepatutnya dilakukan ketika peperiksaan iaitu meniru dan berbincang sepanjang peperiksaan.

“Baiklah,kalau semua sudah selesai, sila letakkan kertas jawapan anda di tepi kanan meja anda dan tunggu sehingga kertas anda dikutip.” Sekali lagi penjaga peperiksaan itu menegaskan.

“Kringgg!!! Kringgg!!” Akhirnya bunyi loceng sekolah berbunyi menandakan peperiksaan STPM untuk kertas terakhir mereka telah tamat.

Setelah menghantar kertas jawapan masing-masing, para pelajar terus meluru ke pintu kelas dan bergegas untuk pulang. Kelihatan juga pelajar yang mencari-cari teman sambil membawa kertas soalan yang telah dijawabnya baharu saja tadi.Ternyata tujuannya hanya untuk menyelidik jawapan sebenar bagi soalan di dalam kertas peperiksaan itu.

“Susahlah soalan sejarah tu tadi.” Keluh Laila.

“Tak susahlah. Soalan tu jadi susah kalau tak belajar.Kau ada mengulangkaji kan? Jadi,maknanya kau dapat jawablah semua soalan tu tadi.” Khairul memberi semangat kepada Laila.

“Jadi, macamana rancangan kita hari ni? Jadi ke tak?” Liesa tiba-tiba menyoal.

“Mestilah jadi. “ Khairul menjawab sambil tersenyum.

Hari ini mereka bertiga telah membuat perancangan untuk berjalan-jalan untuk meraikan hari terakhir mereka menjalani peperiksaan STPM. Bukan mereka bertiga saja yang membuat perancangan sedemikian tapi pelajar lain juga sama. Sudah menjadi lumrah sebagai pelajar untuk meraikan perkara-perkara sebegini. Release tension kononnya.

“Jadi, jam berapa kita nak pergi.?” Giliran Laila menyoal.

“Jam 2.00 aku ambil korang kat rumah masing-masing.Sekarang ni tukar pakaian dulu lah.” Jawab Khairul ringkas.

*****************************

Kelihatan kawasan Bandar Kota Kinabalu lengang. Kereta-kereta yang biasanya menyesakkan jalan-jalan di bandaraya Kota Kinabalu tidak kelihatan. Tidak ramai orang yang berpusu-pusu masuk ke dalam shopping mall dan shopping center. Mungkin kerana pada hari itu dan masa itu adalah hari bekerja. Kalau hari sabtu atau hari ahad,pastinya keadaan kawasan bandaraya Kota Kinabalu adalah sebaliknya.

“Okay,pilihlah lagu.” Liesa memberi arahan setelah memasukkan token karaoke yang dibelinya dari kaunter pusat rekreasi itu.

Sudah menjadi kebiasaan mereka bertiga untuk masuk ke kotak karaoke atau lebih dikenali sebagai karaoke box dan nama singkatannya K-box untuk menyanyi. K-box merupakan tempat pertama yang mereka akan tuju sebelum pergi ke tempat-tempat yang lain.

“Laila,sudikah kau berduet denganku?” Khairul mengajak Laila sambil keningnya diangkat-angkat dan bibirnya mengukir senyuman lebar.

“Okay,biar aku yang pilih lagu.” Laila menerima ajakan sambil terus melihat ke arah monitor yang terdapat di dalam K-box untuk memilih lagu yang sesuai.

“Habis tu, aku nak duet dengan siapa?” Soal Liesa yang berbaur gurauan.

“Takpe,kau duet dengan pakcik yang jaga kaunter tu ya.” Khairul menjawab sambil ketawa terbahak-bahak. Gurauannya itu disambut tawa dari Liesa.

Laila masih terus menekan butang yang tersedia untuk memilih lagu.

“Okay, kita nyanyi lagu ini.” Laila memberitahu Khairul sambil jarinya menuding ke arah skrin yang memaparkan tajuk lagu Serasi Bersama nyanyian Nurul dan Ajai.

Setelah selesai membuat pilihan lagu, Khairul dan Laila masing-masing mencapai mikrofon yang telah disediakan. Liesa hanya duduk dikerusi sambil menanti saat Khairul dan Laila memulakan nyanyian mereka.

Setelah monitor memaparkan lirik lagu,maka bermulalah nyanyian duet antara Khairul dan Laila. Suara mereka tidaklah setanding dengan suara artis-artis tempatan Malaysia, namun mereka tidak pedulikan semua itu.

Semakin hari semakin serasi
Bagai pagi dengan sinar matahari
Bagai malam dengan kerdipan bintang yang berseri

Terlintas saja hati belum ku luahkan
Kau dah pun tahu bagai tiada lagi rahsia
Antara diri kita berdua

Semakin hari semakin serasi
Bagai gelora dan laut air dan tasik
Tak dicemari bagai puncak dan lembah lereng dan titi

Terguris saja hati belum ku tangis ku
Dah kau belai seperti sakit ku ini
Kau yang terasa jiwa kita serupa

Kita bagai satu permata
Terbelah bercantum semula
Hingga langsung tiada terlihat garisnya
Pemisah halus rambut dibelah halus

Kita bagai satu jiwa
Yang bercerai terpatri kembali
Hingga langsung tiada terlihat lainnya
Di dalam hanya ada kekasih hati

Sambil mereka menyanyikan setiap rangkap lagu, mereka sempat bergurau senda seolah-olah mereka sedang menghayati lagu dan bergaya seolah-olah mereka sedang memadu asmara. Liesa hanya memerhatikan sambil tangannya ditepuk-tepuk dan bibirnya mengukir senyuman. Terhibur dengan lagu yang dinyanyikan oleh mereka berdua. Namun,jauh disudut hatinya jelas terasa perasaan cemburu disaat melihat Khairul dan Laila begitu mesra dihadapannya. Namun perasaan cemburu itu tetap dikawal kerana dia menyedari situasi dihadapannya adalah dua sahabat yang sedang bergurau senda,bukanlah situasi kekasihnya sedang curang sambil bermesraan dihadapannya.

“Okay,Liesa. Sekarang giliran kau pula.” Laila bersuara setelah selesai menyanyikan lagu bersama Khairul dan terus menyerahkan mikrofon yang ada ditangannya.

“Aku taknaklah. “ Liesa menolak. Dia malu untuk menyanyi dan sudah menjadi kebiasaan bagi Liesa untuk menjadi penonton sahaja di dalam K-box. Jarang sekali untuk dia menerima tawaran Laila mahupun Khairul yang menyuruhnya untuk menyanyi.

“Alaa kau ni Liesa.Sporting lah sikit. Bukan selalu. Hari ini je.” Kini giliran Khairul pula yang menyuruh Liesa untuk menyanyi dan kini tangannya pula yang menyerahkan mikrofon.

“Okaylah. Untuk kawan aku, aku akan menyanyi hari ini. Tapi ingat,jangan ketawakan aku.” Liesa menerima mikrofon yang diserahkan oleh Khairul .Sempat lagi dia memberi amaran agar tidak mentertawakannya ketika dia menyanyi. Mungkin malu untuk memperdengarkan suaranya yang tidak berapa sedap untuk didengar.

Selesai sahaja memilih lagu, Liesa terus berdiri sambil menggenggam erat mikrofon yang ada ditangannya. Bersedia untuk menyanyikan setiap rangkap lagu yang akan dipaparkan di monitor. Khairul dan Laila hanya memerhati dari tempat duduk mereka sambil bersorak memberi semangat.

hari ini dadaku bergetar
tergoncang memilu dan mengerang
ku yakin ku tak salah
kerna hatiku tak pernah dan takkan berdusta

cinta cinta cinta
aku jatuh cinta

esoknya ku pikir rasa itu
akan menghilang dengan seiring waktu
namun ternyata tak berubah
aku makin tergiur pada dirimu

cinta cinta cinta
aku jatuh cinta

dan seterusnya rasa ini selalu terjadi
dan tak pernah berkurang
hatiku hanya untuk dirimu
aku bahagia hanya bila kamu bahagia

Begitulah lirik lagu yang dinyanyikan oleh Liesa. Lagu yang berjudul ‘hari ini,esok dan seterusnya’ nyanyian Nirina Zubir begitu mendayu dinyanyikan oleh Liesa. Seperti lagu ini memberi makna yang sangat mendalam kepada hatinya. Kelihatan matanya berkaca-kaca ketika menyanyikan lagu itu. Namun ditahan tembok air matanya daripada mengalir.

Laila dan Khairul memerhatikan Liesa yang baharu saja selesai menyanyikan lagu itu. Tidak terkelip mata mereka berdua setelah mendengar alunan suara daripada Liesa. Ternyata selama mereka berkawan, baharu hari ini mereka mengetahui yang Liesa mempunyai bakat dalam menyanyi. Suaranya seolah-olah seperti artis yang sudah lama menceburi diri dalam bidang nyanyian.

“Liesa. Sedapnya kau menyanyi.” Laila memuji Liesa.

“Terima kasih Laila.Biasa jer ni.” Liesa cuba untuk merendah diri.

“Aku rasa, lepas kita dah habis sekolah ni,kau dah boleh mendaftar untuk masuk Program Realiti Tv lah Liesa.” Gurau Khairul diiringi ketawa besar.

“Hisssy..kau ni Khai. Nak mengutuk aku lah tu.” Liesa menegur Khairul sambil memuncungkan mulutnya.

Khairul tidak menjawab.Namun mulutnya tetap tidak berhenti untuk terus ketawa.

“Kau betul-betul feeling lah lagu tu Liesa. Ada maksud tersirat kah?” Laila menyoal Liesa sambil tersenyum dengan keningnya diangkat-angkat.

“Ya.Memang ada maksud tersirat iaitu tentang kau telah mencuri cinta aku Laila. Kau telah merampas cinta yang belum sempat aku genggam.” Bisik hati Liesa. Tidak termampu rasanya untuk mulutnya bersuara dan memberitahu perkara itu kepada Laila secara terang-terangan. Andai dia berkata sedemikian, pasti pergaduhan dan konflik persahabatan antara mereka akan berlaku.

“Takde maknanya aku nak feeling. Aku menyanyi saja-saja je tu.” Liesa menjawab soalan Laila tadi dan kali ini dengan menggunakan mulutnya untuk melontarkan kata-kata sambil bibirnya mengukir senyuman.

“Dah lah.Jom kita pergi tempat lain pula.” Khairul mengajak Liesa dan Laila setelah ketawa besarnya berhenti.

“Kita nak pergi mana lagi?” Liesa menyoal.

“Pergi mana-mana je lah.” Khairul menjawab selamba.

Maka mereka meneruskan sesi release tension mereka . Diteruskan dengan menonton wayang, dan seterusnya bermain bowling dan diakhiri dengan makan di KFC yang terdapat di dalam bangunan Center Point.

Dan setelah jam menunjukkan pukul 5.00 petang, baharulah mereka semua bergegas untuk kembali ke rumah masing-masing.

Tuesday, August 31, 2010

Bab 10 - kala hati enggan berbicara

BAB 10


Degupan jantung Liesa mulai kencang. Dia menjangkakan Khairul mengajaknya keluar hari ini adalah untuk meluahkan segala isi hatinya dan kini dia begitu yakin tatkala melihat air muka Khairul yang kelihatan resah. Maklum sahaja, sudah menjadi lumrah seseorang itu akan menjadi resah dan gelisah apabila ingin meluahkan segala isi hati terutama sekali isi hati tentang cinta kepada seseorang. Namun,

“Aku cintakan Laila.” Khairul bersuara memecahkan kesunyian antara mereka.

Terlopong mulut Liesa ketika mendengar kata-kata Khairul itu. Degupan jantung kebahagiaan kini terasa bagai dihiris sembilu. Semakin kuat ianya berdegup,semakin luka hatinya ditoreh.

“Aku tak tahu sejak bila aku mempunyai perasaan ini terhadap Laila,namun aku yakin yang aku memang dah jatuh cinta dengan Laila.” Khairul menyambung kata-katanya.

Liesa hanya diam terpaku. Mulutnya seperti sudah kelu untuk berbicara. Matanya sudah tidak dapat untuk dikelipkan.Dia hanya duduk terpaku mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Khairul.

“Liesa? Liesa… Kenapa kau diam?” Khairul menyoal Liesa yang sejak tadi hanya diam membisu sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah muka Liesa.

“Habis tu,kenapa kau beritahu aku semua ini? Kenapa tak luahkan saja perasaan kau ini dengan Laila?” Liesa terus menyoal setelah menyedari tindakan Khairul yang cuba menyedarkannya dari lamunan.

“Itulah masalahnya Liesa.Aku tak berani.” Khairul menjawab pertanyaan Liesa.

“Kenapa kau luahkan semua ini kepada aku Khai.Kau tahu tak,aku juga cintakan kau. Apa lagi daya aku sekiranya kau telah katakan yang kau mencintai orang lain selain dari aku.Aku lemah mendengar semua ini.”Bisik hati Liesa.Matanya mulai berkaca-kaca.

“Eh,kau menangis ka Liesa?” Khairul bertanya setelah melihat mata Liesa yang mulai hendak menitiskan air mata.

“Eh,takdelah. Mata aku masuk habuk.” Liesa menjawab sambil tangannya menggosok-gosok matanya.

Kebetulan pada masa itu,cuaca kelihatan kurang baik. Angin-angin yang pada mulanya hanya sepoi-sepoi bahasa kini semakin kuat meniup.Langit sudah menampakkan awan yang hitam dan sebentar lagi pasti air hujan akan mengalir.

Khairul hanya memerhatikan Liesa yang dari tadi menggosok matanya.

“Jadi,kalau kau tak berani,macamana kau nak beritahu Laila tentang perasaan kau ni?” Liesa menyoal setelah mendapati Khairul dari tadi asyik memandangnya.

“Aku perlukan bantuan kau Liesa.” Khairul bersuara.Kini pandangannya tidak terus kepada Liesa.

“Bantuan? Bantuan yang macamana?” Liesa menyoal pelik.Tidak tahu bantuan yang macamanakah yang dimaksudkan oleh Khairul.

“Begini, aku nak kau bantu aku bagi memastikan yang Laila akan jatuh hati kat aku. Kalau Laila betul-betul dah jatuh hati kat aku,baharulah aku berani nak meluahkan segala isi hati aku.” Khairul memberikan penjelasan.

“Eh,aku tak fahamlah.” Berkerut-kerut dahi Liesa ketika cuba memahami maksud yang ingin disampaikan oleh Khairul.

Khairul mengurut-urut dagunya yang tidak berjanggut itu.Mencari jalan bagaimana hendak menjelaskan kepada Liesa agar semua penjelasannya dapat difahami oleh Liesa.

“Aku nak kau tolong aku tackle Laila.” Penjelasan yang ringkas dari Khairul namun ianya lebih mudah difahami.

Tiba-tiba,bunyi guruh berdentum kedengaran dari langit.Bunyinya yang kuat membuatkan orang-orang disekeliling terkejut.Bunyi guruh yang mengejutkan orang ramai itu sama seperti kata-kata Khairul yang mengejutkan hati Liesa.

Bagaimana Liesa hendak membantu insan yang dicintainya untuk memikat wanita lain. Pedih yang teramat sangat dirasai oleh Liesa. Permintaan Khairul untuk meminta bantuan darinya bagaikan panahan berbisa yang membuatkan hatinya mulai terasa pedih.

“Kenapa kau minta aku buat semua ini Khai.” Hati Liesa berbisik sayu.

“Kau ikhlas ke mencintai Laila ?” Liesa menyoal.

“Aku ikhlas mencintainya Liesa.Aku mencintainya sepenuh jiwa dan ragaku.” Khairul menjawab.

“Tapi,bukankah kau tak percaya dengan percintaan di zaman persekolahan?” Liesa menyoal kembali.

Khairul terdiam sejenak.

“Memang pada mulanya aku tak percaya dengan cinta.Lebih-lebih lagi percintaan di zaman persekolahan ini. Tapi, aku tak dapat menolak perasaan aku ini.Dan,akhirnya aku mengalah dan menerima perasaan aku ini. Kalau aku tak terima perasaan yang bermain dihatiku ini, terasa hati ini bagai memikul beban yang teramat berat.” Khairul menjelaskan.

“Tapi,kau tak takutkah kejadian yang menimpa kawan kau itu,akan menimpa kembali kepada kau.?” Liesa menyoal lagi.

“Memang aku risau juga.Tapi kini aku tak peduli semua itu.Aku memegang kepada kata-kata ‘andai takut untuk kecewa,andai takut untuk menderita,andai takut dikecewakan,maka janganlah bercinta’. “ Khairul menjawab sambil memberitahu ayat-ayat yang pernah dibacanya melalui novel-novel cinta.

“Beginilah Khai.Aku rasa,lebih baik kau simpan dulu niat kau itu.” Liesa memberikan pendapat sambil bangun berdiri dari kerusinya.Mungkin kakinya terasa lenguh dan dengan berdiri,urat-urat sarafnya dapat direnggangkan dan dapat mengelakkan kakinya dari terasa kebas.

“Apa maksud kau?” Kini Khairul pula yang menyoal.

“Bukan apa.Kau tahu kan apa yang terjadi dengan Syamsul?” Liesa ingin mendapatkan kepastian dari Khairul.

Khairul hanya menganggukkan kepalanya.

“Jadi,kau tahulah kan yang Laila takkan melayan perasaan cinta selagi STPM belum selesai?” Liesa menyoal kembali.

Khairul terdiam.Mulutnya tidak dapat bersuara.Kepalanya tidak menunjukkan anggukan untuk memberi respon terhadap soalan Liesa.Namun sebenarnya dia tahu tentang perkara itu.

“Jadi,aku cadangkan, kau simpanlah soal hati dan perasaan kau tu dulu.Tunggu sampai kita selesai peperiksaan dan lepas tu baharulah kau fikirkan kembali bagaimana nak mengambil hati Laila dan meluahkan perasaan kau.” Liesa memberi cadangan kepada Khairul.

“Maafkan aku Khai.Aku tak mampu untuk membantu kau dalam masa terdekat ini.Begitu sukar untuk aku menerima hakikat ini.Tolong beri aku masa untuk menenangkan perasaan aku terlebih dahulu.” BIsik hati Liesa.

Ternyata cadangan yang disuarakan oleh Liesa adalah kerana dia masih belum bersedia untuk membantu Khairul dalam masa terdekat ini dan masih belum dapat menerima hakikat yang dia akan membantu insan yang dicintainya untuk memikat hati wanita lain.

“Tapi,takkanlah aku nak berdiam diri terus tanpa melakukan apa-apa?” Khairul bersuara seolah-olah tidak berapa bersetuju dengan cadangan Liesa.

Liesa hanya berdiam.Seolah-olah mencari idea untuk memberikan cadangan yang lebih baik kepada Khairul. Namun hakikatnya fikiran Liesa sudah buntu untuk mencari idea lain lagi.

“Beginilah Liesa, mulai sekarang, aku akan berusaha untuk menambat hati Laila sedikit demi sedikit. Dan selepas peperiksaan STPM selesai, aku nak kau bantu aku untuk meluahkan perasaan sebenar aku dengan Laila.Boleh?” Khairul bersuara setelah mendapati Liesa hanya berdiam diri tanpa memberikan cadangan yang lain.

“Tapi,kalau Laila menolak cinta kau?Bagaimana?” Liesa menyoal kembali.

“Kalau dia menolak cinta aku,itu belakang punya cerita.Yang penting, aku sempat meluahkan rasa cinta aku sebelum cinta aku ditolak.” Khairul menjawab sambil wajahnya mengukir senyuman ke arah Liesa.

“Dan akulah insan itu yang ditolak cintanya sebelum sempat menyuarakan rasa cinta.” Sekali lagi hati Liesa berbisik.

“Kau okay ke ni Liesa? Apasal aku tengok kau ni dari tadi muram semacam je?” Khairul menyoal setelah mendapati tingkahlaku Liesa yang dari tadi seperti orang yang lemah sahaja.

“Aku okaylah.Perasaan kau je tu.” Liesa menjawab sambil wajahnya mengukir senyuman palsu bagi menyembunyikan perasaan sebenar yang dirasainya kini iaitu kecewa dan sedih.

“Kau tak suka aku jatuh cinta dengan Laila ke?” Khairul menyoal penuh syak.

“Hisssyy kau ni.Ke situ pula. Takdelah.Aku gembira kalau kau betul-betul cintakan Laila. Tapi aku tak gembira kalau kau hanya ingin memainkan perasaan Laila semata-mata.” Liesa menjawab soalan penuh syak dari Khairul.

“Jangan risau.Aku cintakan dia sepenuh jiwa dan ragaku.Aku takkan kecewakan dia.” Khairul menjawab sambil tangannya seolah-olah sedang memberi hormat seperti di dalam kawat.

Liesa hanya mampu tersenyum melihat telatah yang ditunjukkan oleh Khairul. Namun hatinya masih belum terhibur.

“Dah la.Jom lah kita balik.Dah nak hujan ni.” Liesa mengajak Khairul untuk pulang ke rumah sambil mukanya mendongak langit sambil memerhatikan awan-awan yang kian menghitam.Tangan kanannya ditadah bagi merasakan titisan air hujan yang menitis dari langit.

“Okay bos!!” Khairul bersuara dan sekali lagi membuat gaya seperti memberi hormat di dalam kawat.

Sepanjang perjalanan balik ke rumah, Liesa hanya berdiam diri.Namun Khairul tersenyum gembira sambil menyanyikan lagu-lagu yang diudarakan melalui corong radio di dalam keretanya. Ternyata hati Khairul kini telah tersemai bibit-bibit cinta. Namun Liesa…

“Liesa ,kau rasa Laila suka kat aku tak?” Khairul menyoal selepas Liesa keluar dari kereta untuk menuju ke rumahnya. Khairul menyoal sambil keningnya diangkat-angkat.Bibirnya mengukir senyuman.

“Kenapa kau tanya aku soalan ini Khai?Kenapa kau tak tanya sama ada aku cintakan kau atau tidak?” Bisik hati Liesa.

“Entahlah Khai.Mana aku tau.Kau kena tanyalah dengan Laila sendiri.Baharulah kau dapat jawapannya.” Liesa menjawab pertanyaan Khairul sambil mengukir senyuman yang ternyata dibuat-buat.

“Thanks sebab sudi nak bantu aku.” Khairul berterima kasih kepada Liesa.

“Itulah gunanya kawan.” Liesa menjawab sambil matanya dikenyitkan.

Selesai sahaja perbualan mereka di perkarangan rumah Liesa, Khairul terus memecut kenderaan yang dibawanya dan menuju ke rumahnya. Sepanjang perjalanan dia meneruskan aktiviti nyanyiannya di dalam kereta.

Dan Liesa, terus memerhatikan kereta Khairul bergerak sehingga lenyap dari pandangan.

Hujan mulai turun dengan lebatnya dan Liesa masih berdiri di halaman rumahnya seolah-olah masih melihat kereta Khairul sedang memecut. Pakaian yang dipakainya mulai basah.

Di balik hujan yang lebat itu,ternyata tersembunyi tangisan seorang gadis yang kecewa dan patah hati kerana cintanya yang tak sempat diungkap dan kini cintanya itu telah berlalu pergi dengan sinar harapan cinta yang lain.

Saturday, August 28, 2010

Bab 9 - kala hati enggan berbicara

BAB 9

Diariku,

Hari ini aku ingin berbicara tentang seseorang.
insan yang selama ini telah membuatkan hatiku gundah-gulana.
Insan yang telah membuatkan jantungku berdebar-debar tatkala berada disampingnya,
Insan yang telah membuatkan diriku merasa seperti disayangi dan dihargai,
Insan yang telah menanam benih-benih cinta di ruang hatiku ini.

Dan kini diariku,

Aku cukup yakin
Dan seyakin-yakinnya
Bahawa aku telah jatuh cinta dengan insan yang bernama
Khairul Anuar bin Ismail.
Ya,dialah insan yang telah mencuri hatiku ini.
Dan kini hatiku sudah tidak tertahan untuk terus memendam perasaan.

Dan diariku

Kini aku bertekad untuk meluahkan segala isi hati
Segala rasa kasih
Segala rasa sayang
Dan segala rasa cintaku padanya.
Andai ternyata dia milikku,
Andai ternyata dia menerima cintaku,
Akan ku jaga dia,
Akan ku cintai dia sepenuh jiwaku,


Setelah selesai menulis isi hatinya di dalam diari kesayangannya itu, Liesa terus menutup dan menyimpan diarinya di dalam laci. Setelah itu, air susu yang dibancuhnya tadi diminum sehingga habis.

Melalui penulisan diarinya tadi, ternyata Liesa kini yakin tentang isi hati dan perasaan sebenarnya terhadap Khairul. Dan Liesa telah akui bahawa dia telah jatuh cinta dengan Khairul. Disebabkan sudah tidak tertahan untuk terus-menerus menyimpan perasaan terhadap Khairul,dia telah bertekad untuk meluahkan segala-galanya.

Walaupun hakikatnya jarang sekali didengar wanita meluahkan perasaan cintanya terhadap lelaki terlebih dahulu, Liesa tetap tidak mempedulikan hal itu kerana dia merasakan dirinya sudah tidak tertahan untuk menanggung derita cinta yang terus-menerus dibiarkan tersimpan rapi di dalam hati.

“Krinnggg..Kringg..” Telefon bimbit Liesa berbunyi lalu dicapainya. Diperhatikan nama pemanggil yang tertera di skrin telefon bimbit itu.

“Khairul? Dia nak apa telefon aku malam-malam ni?” Liesa bermonolog sendirian. Tidak lama kemudian,Liesa menekan punat ‘answer’ untuk menjawab panggilan.

“Hello.” Liesa memulakan perbualan.

“Hello Liesa. Dah tidurkah?” Khairul bertanya.

“Belum lagi,kenapa kau call aku malam-malam ni Khai? “ Laila menjawab dan diteruskan kata-katanya dengan menyoal semula.Kedengaran suara Liesa sedikit tegas ketika bertanya Khairul,namun di lubuk hatinya sebenarnya sedang berteriak gembira kerana dapat mendengar suara insan yang dicintainya.

“Aku nak jumpa kau esoklah Liesa. Ada hal penting aku nak cakap.” Khairul menjelaskan.

“Cakap kat telefon,tak bolehkah?” Liesa menyoal kehairanan. Perkara apa yang begitu penting sehingga tidak boleh berterus-terang melalui telefon.

“Tak boleh. Sebab benda yang aku nak cakap ni tentang hati dan perasaan. Dan hanya kau saja yang perlu tahu hal ini.” Kharul sekali lagi menjelaskan kepada Liesa.

Tanpa disangka-sangka, kata-kata Khairul itu membuatkan degupan jantung Liesa menjadi kencang. Tentang hati dan perasaan? Apakah perkara yang begitu penting sehingga melibatkan hati dan perasaan? Adakah Khairul juga turut merasakan apa yang aku rasakan? Apakah Khairul juga mencintai aku dalam diam? Adakah Khairul juga kini tidak dapat menahan untuk membiarkan isi hatinya terus dipendam? Adakah Khairul ingin meluahkan rasa cintanya padaku? Begitulah persoalan yang timbul dalam hati dan fikiran Liesa kini.

“Baiklah, tapi esokkan hari sekolah. Kita boleh bincang kat sekolah je nanti.” Liesa menegaskan kepada Khairul tapi dengan nada suara yang kedengaran sedikit gagap.

“Takpe, Lepas habis persekolahan aku akan ambil kau kat rumah. Lepas tu kita pergi ke pantai.Kat sana aku akan luahkan segala-galanya kat kau.” Khairul memberitahu perancangan yang telah dirancangnya untuk bertemu dengan Liesa.

“Laila?” Liesa menyoal ringkas.

“Tolong jangan beritahu Laila. Sebab hal ini aku cuma nak luahkan kat kau je. “ Pinta Khairul.

“Baiklah.” Jawab Liesa ringkas.

Punat end call di tekan setelah perbualan antara Liesa dan Khairul tamat. Liesa terus membaringkan dirinya di katil yang bercadarkan corak bunga-bungaan berwarna ungu. Namun tangannya masih memegang telefon bimbitnya dan matanya masih tertumpu ke arah skrin telefon. Namun, fikirannya sekarang bukanlah tertumpu pada telefonnya. Fikirannya kini melayang-melayang memikirkan tentang perkara yang ingin diperkatakan oleh Khairul padanya. Liesa tersenyum sendirian.

“Apa yang Khai nak luahkan kat aku ye? Mesti dia pun telah jatuh hati kat aku. Dan kalau betullah dia dah jatuh hati kat aku, mesti esok dia nak luahkan perasaannya kat aku. Kalau begitu, baguslah. Tak perlulah aku mulakan dahulu dalam meluahkan perasaan cinta.” Liesa sekali lagi bermonolog sendirian.

Setelah puas termenung,setelah puas berkhayal,setelah puas memikirkan tentang perancangan Khai pada esok hari,akhirnya Liesa menyerah kalah apabila matanya sudah mulai merah kerana mengantuk. lampu dibiliknya pun dimatikan dan akhirnya Liesa berada di alam mimpi.

Bab 8 - kala hati enggan berbicara

BAB 8


Hari ini, Liesa dan Laila bertandang ke rumah Khairul. Tujuan mereka hanyalah ingin menimba ilmu dan mengulangkaji pelajaran bersama Mukhsin. Kebetulan hari ini adalah hari terakhir sebelum Mukhsin kembali ke Sarawak untuk menyambung semula kerjanya sebagai seorang guru di sana.

“Bila abang nak balik ke sini lagi?” Soal Liesa.

“Tak pasti lagi.Insyaallah,kalau takde halangan abang akan balik ke sini masa cuti hari raya. nanti” Jawab Mukshin. Matanya masih menumpukan perhatian ke arah buku pelajaran subjek matematik yang di bawa oleh Laila. Walaupun hakikatnya Mukhsin bukanlah seorang guru dalam bidang matematik,namun dia masih mampu untuk memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan adiknya itu.

“Hari raya nanti,jangan lupa duit raya untuk kitorang ye bang.” Gurau Liesa sambil mengangkat keningnya.

“Eh,ke situ pula. Dah,jangan banyak cakap.Pasal duit raya,kita cerita masa hari raya nanti. Sekarang tumpukan sepenuh perhatian ke arah buku ini.” Tegas Mukhsin sambil tangannya menunjuk ke arah buku rujukan matematik yang berada di hadapannya.

“Baik cikgu.” Liesa dan Laila bersuara serentak. Mukhsin hanya menggelengkan kepala dengan melihat gelagat mereka berdua.

Khairul juga turut mengulangkaji bersama-sama walaupun hakikatnya dia sering mengulangkaji matapelajaran bersama abangnya setiap malam. Namun dia tidak mahu melepaskan peluang untuk belajar bersama-sama dua orang rakannya itu.

Sedang mereka asyik belajar, Mak Miah menghampiri mereka sambil membawa minuman untuk dihidangkan kepada tetamunya yang bertandang ke rumah hari ini.

“Liesa,Laila. Minum dulu air ni. Jangan segan-segan ye nak.” Pelawa Mak Miah.

“Terima kasih makcik.Susah-susah je.” Gurau Khairul kepada ibunya sambil merapati ibunya lalu mengambil segelas air oren dan meminumnya.

“Hisy budak ni. Sejak bila mak ni jadi makcik kau?” Mak Miah menyoal sambil mencekak pinggang setelah air yang dibawanya tadi diletak di atas meja.

Soalan Mak Miah itu tidak dijawab oleh Khairul. Hanya ketawa kecil dari Liesa dan Laila sahaja yang kedengaran ketika melihat Mak Miah menegur Khairul

Liesa,Laila.Hari ni makan tengahari kat rumah makcik ye.Makcik masak banyak hari ini. Maklumlah kamu berdua pun jarang datang ke rumah makcik ni. Kalau ada abang Mukhsin ni,barulah nampak kelibat korang kat sini.” Pelawa Mak Miah.

“Baiklah.Terima kasih makcik.” Jawab Laila.

“Mak,masak sedap-sedap ye.” Khairul memberitahu ibunya.

“Selama ini mak masak tak sedapkah?” Soal Mak Miah. Namun,seperti biasa soalannya itu tidak akan dijawab kerana Khairul tahu ibunya itu hanya bergurau seolah-olah bertanya. Hanya ketawa kecil yang menjadi jawapan dari Khairul.

Mukhsin masih terus menumpukan perhatian ke arah buku rujukan sambil menunjukkan cara penyelesaian kepada Laila.

“Makcik,saya nak tolong.Boleh?” Liesa menawarkan diri.

“Hisy..tak payahlah susah-susah Liesa. Liesa kan tengah belajar.Lagipun, makcik boleh buat sorang-sorang.” Mak Miah menolak tawaran Liesa.

Hakikatnya Mak Miah lebih suka untuk menerima tawaran dari Liesa itu. Maklum sajalah Mak Miah tidak mempunyai anak perempuan yang boleh membantunya untuk memasak. Hanya dua orang anak lelaki saja yang ada di rumahnya itu dan mereka berdua hanya akan menemaninya di meja makan untuk menyantap segala makanan.Kalau nak mengharapkan untuk membantunya memasak,rasanya nak kiamat dunia ni.

“Takpelah makcik,Liesa ikhlas nak bantu makcik ni.Lagipun bukannya ambil masa yang lama untuk memasak ni. Lepas selesai kita memasak,bolehlah Liesa sambung belajar lagi.” Liesa berusaha untuk membantu Mak Miah. Wajahnya mengukir senyuman yang lebar sehingga mempamerkan barisan giginya yang putih itu. Begitu bersemangat Liesa untuk membantu.

“Yelah nak. Marilah tolong makcik. Lagipun,makcik ni suka kalau ada anak perempuan yang boleh tolong makcik kat dapur. Tak juga sunyi kat dapur tu nanti. Nak mengharapkan menantu tolong masak,entah bilalah nak termakbul." Akhirnya Mak Miah bersetuju namun sempat memerli Mukhsin kerana sampai sekarang belum berkahwin. Matanya terus melirik ke arah Mukhsin.

Mukhsin yang menyedari dengan kata-kata perli ibunya itu tergamam seketika. Wajahnya ditundukkan namun tangannya terus menulis formula matematik di atas sebuah kertas kecil.

“Jangan risau mak, tak lama lagi cikgu Aishah akan tolong mak memasak kat rumah ni.” Khairul memihak kepada ibunya sambil memberitahu ibunya hal cikgu Aishah.

“Cikgu Aishah?” Liesa dan Laila bersuara serentak lantas memandang wajah Mukhsin. Menyedari dirinya dipandang , wajah Mukhsin terus bertukar kemerah-merahan menahan malu.

“Siapa cikgu Aishah?” Mak Miah menyoal.

“Cikgu Aishah guru kelas kami, makcik.” Laila menjawab.

“Mukhsin,cikgu Aishah tu calon isteri kau ke? Kenapa tak bagi tau mak?” Mak Miah menyoal.

“Takdelah mak.Mukhsin tak berapa kenal pun dengan cikgu Aishah tu. Baru jumpa sekali je.Itupun secara kebetulan.” Jawab Mukhsin mendatar.

“O….Harap-haraplah cepat bawa cikgu Aishah tu balik kat rumah kita ni ye Mukhsin.” Mak Miah menyuarakan harapannya kepada Mukhsin. Mukhsin hanya berdiam diri namun matanya memandang tajam ke arah Khairul kerana membuka cerita tentang Aishah. Khairul hanya ketawa berdekah-dekah walaupun menyedari dirinya dipandang tajam oleh abangnya.

“Dah la tu Miah,pergilah masak. Perut dah lapar ni.” Pak Mail yang dari tadi hanya berdiam diri dan sedang asyik menonton tayangan berita dikaca televisyen bersuara secara tiba-tiba. Mungkin ingin membantu Mukhsin supaya tidak disoal dengan soalan-soalan yang lebih panas dari Mak Miah.

“Ye lah bang.Nak masaklah ni. Jom Liesa.” Mak Miah menjawab sambil tangannya melambai-lambai ke arah Liesa untuk mengajaknya ke dapur.

Mak Miah dan Liesa bergegas menuju ke dapur. Laila,Khairul dan Mukhsin terus ditinggalkan di ruang tamu rumah.

Liesa mencapai pisau dan mengupas bawang yang telah disediakan oleh Mak Miah. Mak Miah pula mengupas ubi kentang dengan menggunakan potato pealer.

“Cikgu Aishah tu macamana orangnya Liesa?” Soal Mak Miah kepada Liesa.

Kini kaji selidik dan soal siasatnya telah berpindah kepada Liesa. Ternyata Mak Miah belum berpuas hati selagi dia belum mengenali secara menyeluruh tentang insan bernama cikgu Aishah.

“Cikgu Aishah tu baik orangnya. Lemah lembut.Cantik lagi. Cuma kadang-kadang tu garang juga sikit makcik.Maklumlah,kerja sebagai guru kenalah tegas. Kalau tak,semua anak murid naik kepala.” Jawab Liesa.Tangannya masih asyik mengupas bawang.

Mak Miah hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda faham dengan apa yang disampaikan oleh Liesa. Kelihatan wajah Mak Miah bersinar-sinar. Mungkin kerana gembira mendengar tentang keperibadian “bakal menantu”nya itu.

“Berapa umur cikgu Aishah tu?” Mak Miah menyoal lagi.

“Tak pastilah makcik.Rasanya dalam 26 tahun kot.” Liesa mengagak.

Mak Miah kembali mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Sudah-sudahlah bergosip tu mak.” Khairul yang masuk ke ruangan dapur untuk mengambil air mineral bersuara memberi nasihat.

“Bukan gosiplah. Mak cuma nak kenal tentang diri cikgu Aishah” Jawab Mak Miah.

Khairul hanya menggeleng-gelengkan kepala. Setelah air mineral diambil dia terus menuju hendak kembali ke ruang tamu rumahnya.Namun…

“Aduh…!!!” Liesa mengadu kesakitan setelah jarinya terhiris pisau ketika memotong bawang.

Khairul yang menyedari hal itu terus bergegas mengambil peti kecemasan yang diletakkan di rak dapur.

“Tahan ye Liesa. Sakit ye nak?” Mak Miah cuba menenangkan Liesa.

Setelah mencapai peti keselamatan,Khairul terus membawanya ke arah Liesa lalu dibukanya peti keselamatan itu dan dirawatnya tangan Liesa.

Mak Miah hanya memerhatikan anaknya membersihkan dan merawat luka Liesa. Kadang-kadang raut wajah Mak Miah berkerut-kerut seolah-olah seperti dia yang sedang kesakitan.

Liesa hanya berdiam diri setelah tangannya dipegang dan dirawat oleh Khairul. Tiba-tiba jantungnya mulai berdegup kencang.

“Lain kali,kupas bawang tu hati-hatilah sikit.Tengok sekarang,siapa yang luka?Diri sendiri juga kan?” Khairul mengomel namun mata dan tangannya terus tertumpu untuk membaluti luka pada tangan Liesa dengan menggunakan handyplaster yang terdapat pada peti kecemasan tadi.

Setelah selesai membalut luka ditangan Liesa, Khairul memerhatikan terus ke arah tangan Liesa bagi memastikan tiada lagi kesan luka di sekitar tangannya.

Caringnya Khairul. “ Bisik hati Liesa. Wajahnya kini mengukir senyuman seolah-olah tidak merasa kesakitan lagi. Hatinya kini seperti dibuai-buai dengan bunga-bunga kebahagian tatkala melihat Khairul yang begitu mengambil perhatian terhadap lukanya yang hanya sedikit itu.

“Okay,masih rasa sakit tak?” Soal Khairul setelah selesai merawat luka Liesa. Tangannya masih memegang tangan Liesa.

Liesa tidak menjawab. Dia seolah-olah telah berada di alam fantasi. Alam fantasi kebahagiaan.

“Ehem…ehem…” Mak Miah berdehem setelah menyedari Liesa tidak menjawab pertanyaan Khairul.

Setelah mendengar Mak Miah berdehem,baharulah Liesa tersedar dari lamunannya.

“Thanks Khai.” Liesa berterima kasih sambil wajahnya mengukir senyuman ke arah Khairul.

“Khai,tak elok pegang tangan anak dara orang lama sangat.” Mak Miah menyakat sambil melemparkan senyuman yang sangat mendalam maknanya.Hanya Mak Miah yang memahami erti senyumannya itu.

Setelah menyedari teguran Mak Miah , Liesa terus menarik tangannya dari genggaman Khairul. Wajahnya bertukar merah padam kerana malu. Lalu Liesa terus berlari pantas meninggalkan dua beranak itu di dapur. Namun jantungnya masih terasa berdebar-debar.

“Kenapa Liesa lari pula tu mak?” Khairul menyoal ibunya setelah melihat Liesa berlari meninggalkan mereka.

“Manalah mak tahu.Kau tanyalah dia.” Mak Miah menjawab ringkas dan sekali lagi mengukir senyuman yang cukup mendalam ke arah anaknya itu.

Setelah mendapati dirinya tidak mendapat jawapan yang diinginkan dari ibunya, dia terus berlalu pergi menuju ke ruang tamu untuk menyambung sesi pembelajarannya bersama Mukhsin.

Tidak lama kemudian, Laila datang ke dapur.

“Makcik,biar saya yang tolong makcik ye.” Laila menawarkan diri bagi menggantikan Liesa.

“Eloklah tu nak.Kupas bawang ni ye.Tapi hati-hati tau. Makcik taknak Laila yang terluka lagi lepas ni.” Mak Miah memberi nasihat sambil menghulurkan beberapa biji bawang yang belum dikupas.

Bawang yang dihulurkan oleh Mak Miah dikupas Laila dengan berhati-hati bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku.

“Cikgu Aishah tu macamana orangnya Laila”

Sesi kaji selidik dan soal siasat dari Mak Miah pun diteruskan…